“Tak nak pakcik teman?”Abdul Haq menggeleng. “Tak perlu rasanya, sebab…”
“Assalamu’alaikum!” Satu laungan kedengaran.
Haji Makruf dan Abdul Haq memandang ke arah halaman sambil menjawab salam.
“Oh, pergi dengan Iskandar?” Haji Makruf melempar senyuman kepada Shah yang baru sahaja turun dari basikal.
Abdul Haq dan Shah sekarang semakin rapat. Shah sudah banyak kali datang ke rumah Haji Makruf, untuk mengulangkaji pelajaran dengan Abdul Haq.
“Apa khabar kamu Iskandar?” Lembut Haji Makruf bertanya, dengan lemparan senyuman yang tidak pernah lekang.
Shah amat senang dengan Haji Makruf. Haji Makruf tidak seperti orang tua lain yang memandang buruk kepadanya kerana dia menghisap rokok. Tidak pernah keluar dari mulut Haji Makruf perkataan ‘sampah masyarakat’, ‘anak tak berguna’ dan kata-kata yang sering disebut orang tua kepadanya. Haji Makruf melayannya dengan baik.
Shah bersalam dengan Haji Makruf, mencium tangannya. “Sihat pakcik. Masih ‘handsome’ lagi”
Haji Makruf ketawa. Abdul Haq menggeleng. Shah pandai bercanda, dengan gaya yang selamba.
“Ha, ini ada seorang lagi handsome, jangan lupa pula” Abdul Haq menepuk-nepuk bahu Shah.
“Ya la, tahu la kau handsome, semua perempuan suka” Shah mencubit pipi Abdul Haq.
Haji Makruf ketawa lagi. “Kamu macam dah dapat adik, Abdul Haq”
Abdul Haq dan Shah berpandangan. Kata-kata Haji Makruf itu menyentuh hati mereka. Macam adik beradik?
“Haq kata, kami memang bersaudara”
“Ya kah?”
Abdul Haq tersenyum. Dia mengangguk. “Sesungguhnya, orang beriman itu bersaudara, maka perdamaikanlah dua antara mereka yang bertelagah, moga-moga kamu beroleh rahmat”
“Surah Al-Hujurat, ayat 10” Shah menyambung.
Haji Makruf mengangguk-angguk. Benar.
“Ha, baiklah. Kamu kena pergi cepat, sudah hampir maghrib.”
Shah sebagai pemandu, Abdul Haq menjadi penumpang. “Kami pergi dulu ya Pak cik”
“Jaga diri baik-baik. Buat amal sungguh-sungguh”
Kedua-dua sahabat itu mengangguk.
Shah memulakan kayuhan. Basikal yang membawa mereka berdua perlahan-lahan bergerak keluar dari halaman rumah Haji Makruf. Mereka menuju ke Sekolah Rendah Sentosa, kerana pada malam ini, ada program qiamullail bagi pelajar-pelajar darjah enam.


No comments:
Post a Comment