Cute Onion Club - Onion Head

Friday, October 21, 2011

Artikel : Kepentingan Bahasa Dalam Kehidupan

BAHASA merupakan suatu elemen yang penting dalam kehidupan. Manusia menggunakan bahasa sebagai medium untuk berkomunikasi, sama ada secara langsung atau bertulis.

Percakapan atau tulisan yang menggunakan bahasa yang baik dan teratur akan memberi makna mendalam dan juga mampu menyentuh perasaan.

Justeru, Islam menggalakkan umatnya menggunakan bahasa yang indah dan baik-baik apabila bertutur.

Rasulullah SAW sendiri berdakwah menggunakan bahasa yang paling baik dan halus dan tidak pernah menggunakan bahasa yang kesat dan kasar dalam pengucapan baginda.

Sifat ini seharusnya dicontohi terutama sekali para remaja supaya dapat menggunakan bahasa yang baik dan teratur dalam percakapan seharian.

Luqman Al-Hakim juga berpesan dengan anaknya, menggunakan istilah ‘wahai anakku’ yang menggambarkan kelembutan seorang ayah dalam menasihati anaknya sehingga termaktub dalam al-Quran (Luqman:12-19).

Penulis buku motivasi terkenal, La Tahzan (Jangan Bersedih), Dr. Aidh Abdullah al-Qarni juga ada berkata dalam suatu temuramah, “Islamlah yang mengajak orang untuk memiliki kebebasan berekspresi. Tapi ada dua syarat dalam hal ini. Jangan sampai menghina suatu agama dan, kedua, jangan sampai merosak dan memfitnah orang lain.”

Ini menunjukkan bahawa bersuara tidak mengehadkan batas pemikiran manusia, tetapi harus dilakukan dengan batas lingkungan yang benar dan beretika.

Namun dapat diperhatikan senario pada hari ini, ialah penggunaan bahasa yang semakin kasar dan kadangkala juga boleh menggugat keimanan.

Ia terserlah dalam penggunaan bahasa di kalangan muda-mudi termasuk remaja, dalam blog penulisan, bait lagu dan puisi, serta dalam rancangan di televisyen atau radio.

Penggunaan bahasa pasar dan bahasa kasar sememangnya kurang enak didengar, namun itulah realiti yang terpaksa ditelan hari ini.

Persoalannya, adakah rancangan-rancangan tidak akan laku sekiranya tidak menggunakan bahasa yang indah dan teratur?

Adakah setiap program memerlukan jenaka yang kadangkala berlebihan dan kurang sedap didengar untuk menarik perhatian penonton?

Adakah bahasa yang digunakan dalam lagu misalnya tidak melambangkan sikap dan jiwa sebenar seseorang itu?

Oleh itu, remaja perlu berfikir secara mendalam akan penggunaan bahasa agar ia tidak menyinggung perasaan orang lain sekali sekalipun untuk menyatakan kebenaran.

Antara gurauan dan igauan

Dalam menggunakan bahasa, perkara-perkara seperti sebutan, ejaan, kosa kata, tanda baca dan sebagainya dipanggil tatabahasa dan ia merujuk kepada struktur dan binaan ayat.

Manakala peraturan-peraturan bagi memilih bentuk sapaan, ganti nama, bentuk hormat, dan perbuatan menyentuh orang, mengiktiraf taraf sosial, taraf pendidikan, usia orang dan lain-lain pula boleh dipanggil sebagai budi bahasa.

Budi bahasa adalah sesuatu yang penting apabila bertutur dan berkomunikasi, walaupun sedang berjenaka dan bergurau.

Yang menjadi masalahnya ialah apabila ramai antara kita yang cuba bergurau tetapi menggunakan bahasa yang kurang enak didengar dan kadangkala mengaibkan orang lain.

Islam tidak melarang berjenaka dan bergurau, tetapi tidak harus berlebih-lebihan. Menghiburkan diri dengan jenaka atau kata-kata gurauan boleh menghilangkan kerisauan hati tetapi dalam masa yang sama ia kadangkala mengundang sensitiviti kepada orang yang terlibat dan mendengar.

Oleh itu, remaja harus sentiasa berhati-hati agar tidak menyinggung perasaan sesiapa dan pastinya kita mengharapkan perbuatan yang serupa daripada orang lain juga.

Allah mencipta manusia dengan akal dan hati, yang saling berbeza tabiat dalam memberikan reaksi kepada perkataan. Akal memproses logik dan hati memproses emosi.

Apabila seseorang memberi tindakbalas yang positif, secara automatik emosi akan berasa ceria dan bersemangat dan begitulah sebaliknya.

Apatah lagi sekiranya berjenaka tentang agama yang bermaksud untuk memperlekehkan agama.

Ia mungkin berlaku tanpa disedari, sebagai misalnya berlawak mengenai hukum-hakam yang sudah sedia maklum wajib dilakukan seperti bersolat, berpuasa, dan asas-asas rukun Islam dan rukun Iman yang lain.

Ada juga yang tanpa sedar berjenaka mengenai tuntutan yang wajib dilakukan seperti menutup aurat, menjaga kewajipan dengan jiran dan guru, poligami dan sebagainya.

Paling tidak pun, bergurau dengan memendekkan istilah-istilah yang baik seperti astaga, La’ilah, dan sebagainya dengan tujuan menimbulkan rasa geli hati kepada pendengar. Semua ini akan menjejaskan keimanan walaupun dilakukan tanpa sedar dan niat.

Adalah menjadi suatu kebiasaan pula di masa kini untuk menyelitkan lawak jenaka dalam majlis-majlis ilmu.

Sesetengah orang berpendapat bahawa tanpa jenaka sesebuah ceramah akan menjadi bosan dan tidak menarik.

Mungkin ada benar. Dan mungkin juga ia kurang tepat. Bagaimana ilmu boleh disampaikan secara berkesan sekiranya disampaikan dengan lawak dan terlalu santai? Apakah matlamat sebenar apabila berceramah? Memastikan matlamat seminar tercapai atau membuat orang ketawa?

Justeru, penggunaan bahasa dalam bergurau dan jenaka mesti digunakan sebaik-baiknya kerana dibimbangi boleh membawa interpretasi yang salah yang menyinggung manusia dan hukum-hukum Allah.

Sekiranya ia dilafazkan untuk meredakan ketegangan minda dan sekadar menaikkan suasana ceria, bolehlah dilakukan sekadarnya.

Apa yang penting, gurauan dan jenaka bukanlah jalan untuk mengalih dan menutup pintu kebenaran. Kerana apabila manusia sudah terlalu gembira, kadangkala mereka terlupa akan isu pangkal dan fokus sebenar.

Syirik tanpa sedar

Selain itu kita juga sering disajikan dengan lagu-lagu, sajak, drama atau filem yang menggunakan bahasa-bahasa yang menggambarkan cinta manusia lebih unggul daripada cinta kepada Allah SWT.

Lambakan lagu yang menggunakan istilah seperti ‘tidak boleh hidup tanpamu’, ‘hidup matiku hanya untukmu’ dan sebagainya menggambarkan bahawa manusia seolah-olah telah menjadi hamba kepada cinta dan manusia bergantung kepada manusia yang lain sedangkan Allah telah menjadikan manusia dengan kemampuan dan kelebihan yang tersendiri.

Terdapat juga lagu-lagu yang tanpa kita sedari menyalahkan takdir atas musibah yang berlaku, sedangkan dalam Islam kita harus percaya kepada ketentuan qadar dan qada yang Allah tentukan. Lagu digambarkan seolah-olah hidup akan hancur selepas kehilangan sesuatu atau seseorang, ataupun sedangkan kita dituntut untuk bersabar, percaya dan bertawakal kepada Allah.

Begitu juga dengan nyanyian, iaitu pada dasarnya ia tidak sepatutnya melekakan apatah lagi memuja-muja sesuatu selain Nya yang boleh membawa ke arah syirik.

Menggunakan perkataan seperti dewa, dewi, idola dan lain-lain sebagai manifestasi kepada orang yang dicintai adalah sesuatu yang salah.

Sungguhpun ia digunakan untuk menggambarkan betapa agungnya kecintaan terhadap seseorang, ia menyalahi konsep bahawa yang perlu diagungkan adalah Tuhan yang kekal abadi, dan bukan manusia dan dunia yang fana ini.

Harus diingat bahawa pengucapan kepada manusia tidak boleh melebihi tingginya kuasa Allah. Malang sekali apabila radio dan stesen TV juga menyiarkan lagu ini sewenangnya tanpa berfikir akan implikasinya apabila ia menjadi siulan ramai.

Memang tidak salah para remaja menjadi orang-orang yang dinamik dalam menggunakan istilah dan konsep. Tetapi setiap istilah terkandung makna dan makna dalam istilah agama berkait rapat dengan al-Quran dan hadis.

Seperti juga orang-orang Barat mengemukakan istilah-istilah tertentu untuk dipopularkan, tetapi ia terkandung maksud yang bercanggah atau tidak serasi dengan tradisi dan budaya orang Islam.

Orang Barat mengguna pakai sesuatu istilah, kadang-kadang berkait rapat dengan tradisi, budaya dan pancaran daripada sistem kepercayaan atau agamanya.

Para remaja yang hidup dalam negara merdeka amat mustahak menjaga kepentingan jati diri. Memelihara jati diri tidak semestinya menyebabkan para remaja menjadi tertutup terhadap pengaruh baik daripada budaya dan tradisi orang lain.

Budi bahasa yang baik sememangnya menyenangkan hati semua orang dan lebih baik disertakan dengan perbuatan yang yang baik. Bak kata pepatah Melayu, ‘Orang berbudi kita berbahasa, Orang memberi kita merasa’.

Kesimpulan

Penggunaan bahasa dalam komunikasi seharian bukan kecil fungsinya. Penggunaan bahasa yang tepat dan benar memberikan makna mendalam dan struktur yang kukuh dalam menyampaikan sesuatu maksud.

Untuk bercakap mengenai kebenaran, tidak semestinya dalam nada yang keras dan kasar. Ia boleh disampaikan dengan nada yang lembut, tetapi tegas dan berprinsip.

Untuk berbeza pendapat juga tidak semestinya meninggi suara atau melukakan, tetapi harus dibalas dengan ilmu, fakta dan berbudi bahasa. Oleh itu, remaja harus berupaya membezakan antara yang baik dan buruk, serta tidak hanya terikut-ikut sesuatu perkataan atau perbuatan hanya dikatakan untuk mengikut peredaran zaman.

Artikel : Keikhlasan Dalam Bekerja

          ADA yang membuat perbandingan bahawa keikhlasan itu seumpama seekor semut hitam di atas batu yang hitam pada malam yang amat kelam. Ia wujud tetapi amat sukar dilihat. Bermaksud betapa sukarnya mengesan keikhlasan yang ada pada diri seseorang walaupun sememangnya ia begerak dalam naluri manusia. Hanya Allah saja yang mengetahui apa yang tersirat yang dilakukan oleh seseorang itu walaupun secara bersembunyi.

Dari segi bahasa, istilah ikhlas merujuk kepada bersih hati atau tulus hati. Sebenarnya istilah ikhlas yang kita guna pakai hari ini diambil daripada bahasa Arab iaitu khalasa dan yukhlisu yang bererti bersih, murni dan jernih. Umumnya, ikhlas memberi makna menjadikan segala sesuatu bersih dan menghilangkan segala kotoran yang bertempelan. Secara komprehensif ia bermaksud melakukan segala amal perbuatan yang diredai Allah dengan memurnikan niat secara tulus hati dan bersih hati hanya kerana Allah semata-mata dengan tidak mengharapkan sedikit pun imbalan daripada pihak lain.

Ibnu Masud RA sahabat yang ternama dan paling cerdas dalam hafalannya menyatakan bahawa perkataan dan perbuatan seorang hamba tidak akan bermanfaat kecuali dengan niat ikhlas dan tidaklah akan bermanfaat pula perkataan, perbuatan dan niat seorang hamba kecuali yang sesuai dengan sunnah Rasulullah SAW.

Keikhlasan memurnikan niat kerja yang dilakukan seseorang hanyalah kerana Allah dan bukannya kerana riak. Mereka tidak menyimpan keinginan untuk dipuji oleh orang lain, apa lagi untuk mengejar hierarki manusia sama ada dari segi pangkat atau kedudukan.

Abul Qosim Al Qusyairi, seorang ulama menyatakan bahawa ikhlas menjadikan niat hanya untuk Allah dalam melakukan amalan ketaatan. Jadi, amalan ketaatan itu dilakukan dalam rangka mendekatkan diri pada Allah dan bukanlah ingin mendapatkan pujian daripada makhluk atau yang dilakukan bukanlah di luar mendekatkan diri pada Allah.

Ulama bersepakat bahawa orang yang ikhlas itu sama sekali tidak mempunyai niat untuk menjadi seorang yang sumah, mengelakkan diri daripada dipuji, tidak sombong, tidak riak, selalu merendah dan suka beramal. Kalangan mereka juga banyak bersabar, sentiasa tenang dalam menghadapi cabaran dan mudah bekerjasama dengan orang lain untuk tujuan kebaikan dan senang melakukan amal yang bermanfaat. Allah berfirman yang bermaksud: Maka sembahlah Allah dengan mengikhlaskan agama kepada-Nya. (Surah Az Zumar, ayat 2)

Allah memandang tinggi kepada mereka yang ikhlas dalam melaksanakan perkara baik, mahupun berjumpa dengan saudara atau kenalan. Meletakkan niat yang betul bersamanya adalah ganjaran yang dijanjikan Allah. Rasulullah SAW menceritakan satu kisah mengenai seorang lelaki yang mengunjungi saudaranya di kota lain, maka Allah mengutus malaikat di perjalanannya. Ketika malaikat itu bertemu dengannya lalu menyapa: Hendak ke mana engkau?, maka lelaki itu berkata: Aku ingin mengunjungi saudaraku yang tinggal di kota ini. Maka malaikat itu bertanya: Apakah engkau memiliki suatu kepentingan yang akan menguntungkanmu (apabila bertemu) dengannya? Lelaki itu pun menjawab: Tidak, hanya saja aku mengunjunginya kerana aku mencintainya kerana Allah. Malaikat itu lalu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah untuk mengkhabarkan kepadamu bahawa sesungguhnya Allah menyintaimu seperti engkau mencintai saudaramu itu kerana-Nya. (Riwayat Muslim)

Kadangkala kita tidak sedari sudah melakukan pekerjaan yang dibuat secara ikhlas semata-mata kerana Allah. Walaupun sumbangan yang diberikan kecil saja tetapi besar ganjarannya di sisi Allah.

Kisah seekor anjing sedang kehausan yang telah diberi pertolongan oleh seorang wanita wajar dijadikan pedoman walaupun sumbangan wanita itu dianggap kecil kepada manusia tetapi besar pengertiannya di sisi Allah.

Sebagai makhluk kita mengharapkan keredaan bersama keampunan Allah. Perkara kebaikan yang dilakukan sekiranya tiada keikhlasan diyakini tidak akan mendapat ganjaran di sisi Allah sama ada kita menzahir atau menyembunyikannya.

Firman Allah yang bermaksud: Katakanlah, jika kamu menyembunyikan apa yang ada dalam hatimu atau kamu melahirkannya, pasti Allah mengetahui. ( Surah Ali Imran, ayat 29)

Sebenarnya, keikhlasan bekerja boleh merangsang peningkatan produktiviti seseorang. Pekerja yang ikhlas akan melakukan kerjanya secara bersungguh-sungguh dan penuh komitmen. Lazimnya mereka yang ikhlas dalam bekerja akan memperoleh nikmat berupa ganjaran yang dijanjikan Allah di dunia dan di akhirat.

Saturday, October 15, 2011

Kisah : Kategori Kematian

        Al-Imam Qurtubi pernah merakamkan hadis nabi yang bermaksud, mati mengejut bagi orang yang baik adalah nikmat manakala mati mengejut bagi yang zalim dan jahat adalah azab.

Memang sedih apabila mendengar berita kematian, tapi bagi yang tahu kategori kematian, ada anugerah di sebalik itu iaitu mati syahid.

Pertama: Mereka yang dapat mengucapkan syahadah menjelang kematian sebagaimana ditunjukkan dalam banyak hadis sahih, antaranya Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “(Barang siapa yang ucapan terakhirnya Laa ilaaha illallah maka dia masuk syurga).” (Hadis Hasan)

Kedua: Kematian yang disertai dengan basahnya kening dengan keringat atau peluh berdasarkan hadis: Dari Buraidah bin Khusaib r.a (bahawa ketika dia berada di Khurasan sedang membesuk seorang sahabatnya yang sakit dia mendapatinya sudah meninggal tiba-tiba keningnya berkeringat maka dia berkata: Allahu Akbar, aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: (Kematian seorang mukmin disertai keringat di keningnya). (Hadis Sahih)

Ketiga: Mereka yang (baik-baik dan soleh) meninggal dunia pada malam Jumaat atau siangnya berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w (tidaklah seorang Muslim yang meninggal pada hari Jumaat atau malam Jumaat melainkan Allah melindunginya daripada seksa kubur).

Keempat: Meninggal dalam keadaan syahid di medan perang sebagaimana ertinya: (Dan janganlah sekali-kali kamu mengira bahawa orang-orang yang terbunuh di jalan Allah mati, tetapi mereka hidup diberi rezeki di sisi Tuhan mereka. Mereka bergembira dengan kurnia yang diberikan Allah kepada mereka dan memberi khabar gembira kepada orang yang belum mengikuti mereka di belakang janganlah mereka takut dan sedih. Mereka memberi khabar gembira dengan kenikmatan dari Allah dan kurnia-Nya dan bahawa Allah tidak mensia-siakan balasan bagi orang-orang beriman). (Surah Ali Imran ayat 169-171)

Rasulullah s.a.w bersabda: “(Orang yang syahid mendapatkan enam perkara: Diampuni dosanya sejak titisan darahnya yang pertama, diperlihatkan tempatnya dalam syurga, dijauhkan dari seksa kubur, diberi keamanan dari goncangan yang dahsyat di hari kiamat, dipakaikan mahkota keimanan, dinikahkan dengan bidadari syurga, diizinkan memberi syafaat bagi tujuh puluh anggota keluarganya.”

Kelima: Mereka yang meninggal ketika berjuang di jalan Allah (bukan terbunuh) berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w: “(Apa yang kalian nilai sebagai syahid antara kalian? Mereka berkata: Ya Rasulullah siapa yang terbunuh di jalan Allah maka dia syahid. Beliau berkata: (Jadi sesungguhnya syuhada’ umatku sedikit ). Mereka berkata: Lalu siapa mereka Ya Rasulullah?

Baginda berkata: (Barang siapa yang terbunuh di jalan Allah syahid, barang siapa yang mati di jalan Allah syahid, barang siapa yang mati kerana wabak taun syahid, barang siapa yang mati kerana penyakit perut syahid dan orang yang tenggelam syahid).”

Keenam: Mati kerana satu wabak penyakit taun berdasarkan beberapa hadis antaranya: Rasulullah s.a.w bersabda: (Wabak taun adalah kesyahidan bagi setiap Muslim).

Ketujuh: Mereka yang mati kerana penyakit dalam perut berdasarkan hadis di atas.

Kelapan dan kesembilan: Mereka yang mati kerana tenggelam dan terkena runtuhan berdasarkan sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: (Syuhada ada lima: yang mati kerana wabak taun, kerana penyakit perut, yang tenggelam, yang terkena runtuhan dan yang syahid di jalan Allah).

Kesepuluh: Mereka yang matinya seorang wanita dalam nifasnya disebabkan melahirkan anaknya: Dari Ubadah bin Shamit r. a bahawa Rasulullah s.a.w menjenguk Abdullah bin Rawahah dan berkata: Beliau tidak berpindah dari tempat tidurnya lalu berkata: Tahukah kamu siapa syuhada’ dari umatku? Mereka berkata: Terbunuhnya seorang Muslim adalah syahid. Beliau berkata: (Jadi sesungguhnya para syuhada’ umatku, terbunuhnya seorang Muslim syahid, mati kerana wabak taun syahid, wanita yang mati kerana janinnya syahid (ditarik oleh anaknya dengan tali arinya ke syurga).

Kesebelas dan kedua belas: Mereka yang mati kerana terbakar dan sakit bengkak panas yang menimpa selaput dada di tulang rusuk, ada beberapa hadis yang terkait yang paling masyhur: Dari Jabir bin ‘Atik dengan sanad marfu’: (Syuhada’ ada tujuh selain terbunuh di jalan Allah: yang mati kerana wabak tha’un syahid, yang tenggelam syahid, yang mati kerana sakit bengkak yang panas pada selaput dada syahid, yang sakit perut syahid, yang mati terbakar syahid, yang mati terkena runtuhan syahid, dan wanita yang mati setelah melahirkan syahid).

Ketiga belas: Mereka yang mati kerana sakit TB berdasarkan hadis: Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: (Terbunuh di jalan Allah syahid, wanita yang mati kerana melahirkan syahid, orang yang terbakar syahid, orang yang tenggelam syahid, dan yang mati kerana sakit TB syahid, yang mati kerana sakit perut syahid). (Hadis Hasan)

Keempat belas: Mereka yang mati kerana mempertahankan hartanya yang hendak dirampas. Dalam hal itu ada beberapa hadis di antaranya: Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: (Barang siapa yang terbunuh kerana hartanya (dalam riwayat: barang siapa yang hartanya diambil tidak dengan alasan yang benar lalu dia mempertahankannya dan terbunuh) maka dia syahid).

Kelima belas dan keenam belas: Mereka yang mati kerana mempertahankan agama dan dirinya: Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: (Barang siapa yang terbunuh kerana hartanya syahid, barang siapa yang terbunuh kerana keluarganya syahid, barang siapa yang terbunuh kerana agamanya syahid, barang siapa yang terbunuh kerana darahnya syahid).

Ketujuh belas: Mereka yang mati dalam keadaan ribath (berjaga di perbatasan)di jalan Allah. Ada dua hadis dalam hal itu salah satunya: Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: (Ribath sehari semalam lebih baik dari berpuasa dan qiyamul lail selama sebulan, dan jika mati maka akan dijalankan untuknya amalan yang biasa dikerjakannya, akan dijalankan rezekinya dan di amankan dari fitnah).

Kelapan belas: Mati ketika melakukan amal soleh berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: (Barang siapa yang mengucapkan: Laa ilaaha illallah mengharapkan wajah Allah lalu wafat setelah mengucapkannya maka dia masuk syurga, barang siapa berpuasa satu hari mengharapkan wajah Allah lalu wafat ketika mengerjakannya maka dia masuk syurga, barang siapa yang bersedekah dengan satu sedekah meng harapkan wajah Allah lalu wafat ketika mengerjakannya maka dia masuk syurga).

Kesembilan belas: Mereka yang dibunuh oleh penguasa yang zalim kerana memberi nasihat kepadanya: Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: (Penghulu para Syuhada’ adalah Hamzah bin Abdul Mutalib dan seseorang yang mendatangi penguasa yang zalim lalu dia memerintahkan yang baik dan melarang dari yang mungkar lalu dia dibunuh nya) Hadis dikeluarkan oleh Al-Hakim dan disahihkannya dan Al Khatib.

Sama-samalah kita berdoa agar kita sama termasuk dalam senarai di atas. Amin Ya Rabbal ‘aalamin